Negeri Kelantan hari ini merupakan sebuah negeri yang diasaskan daripada sebuah kerajaan yang kukuh dan disegani sejak zaman berzaman. Kelantan mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan unik. Disebabkan pantainya menghala ke timur, maka telah wujud satu bentuk jalinan perhubungan tradisi dengan negeri China dan negeri-negeri yang lain di rantau ini.Kedudukannya di persisiran pantai dan tambah pula posisinya di pertengahan jalan dagang timur barat, sudah tentu ia menjadi satu kawasan yang strategik dan mendapat perhatian kepada pedagang-pedagang yang berulang alik dan kerajaan-kerajaan besar dunia pada masa itu. Dengan itu tidak hairanlah jikalau di Kelantan terdapat sebuah kerajaan yang besar yang mengawal aliran perdagangan dan politik di kawasan ini.Salah sebuah kerajaan yang agung dan terkenal sedikit masa dahulu ialah kerajaan di bawah pimpinan keluarga Diraja Jembal. Keluarga Raja Jembal ini memerintah Kelantan dalam abad yang ke-17 dan 18 iaitu antara 1600-an hingga tahun 1733 M.
SEJARAH AWAL
Asal Nama Kelantan
Sejarah awal Kelantan iaitu bila ianya diasaskan agak sukar dikesan. Setengah-setengah ahli sejarah berpendapat Kelantan sudah wujud sebelum abad yang pertama lagi. Masa itu ialah dikenali dengan nama Medang Kemulan, iaitu bermaksud "Medan Permulaan". Dari abad pertama hingga abad kelima ia dikenali pula dengan panggilan Medang Gana.Dalam abad yang ke-5, Kelantan dikenali pula dengan nama Kalatana atau "Tanah Kala". Dalam catatan Cina disebut Ho-lo-tan iaitu catatan yang dibuat oleh Shen Yao (414 - 512 M).Menurut satu riwayat lain, dalam abad yang ke-11, orang melihat satu pancaran sinar yang kuat pada suatu malam dari Bukit Panau terus menjulang ke langit. Oleh kerana pancaran itu dapat dilihat di seluruh pelusuk Kelantan dan mempunyai pengertian yang rahsia, maka raja yang memerintah pada masa itu telah memberi nama sebagai Medan Kilatan Saji. Nama ini disebut "Kilatan" sahaja dan seterusnya menjadi Kelantan, hinggalah ke hari ini.
Kelantan Abad ke-15
Catatan sejarah Kelantan yang lebih jelas ialah bermula pada abad yang ke-15. Dalam tahun 1411 M, Kelantan diperintah oleh seorang raja yang beragama Islam yang bernama Raja Kumar. Baginda menjalinkan hubungan yang baik dengan negeri China. Kemudian Kelantan diperintah pula oleh Sultan Iskandar sehingga tahun 1465 M. Setelah baginda mangkat, diganti pula oleh putera baginda iaitu Sultan Mansur. Masa ini Kelantan menjadi terkenal di merata tempat.Pada tahun 1477 M, Kelantan telah diserang oleh Melaka yang di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Namun begitu, satu peristiwa yang menarik telah berlaku, iaitu berakhir dengan perkahwinan antara Sultan Mahmud Syah dengan Puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening.Setelah Sultan Mansur mangkat pada tahun 1526, anakanda baginda Raja Gombak telah menjadi Sultan. Apabila Sultan Gombak mangkat, cucu baginda, Raja Ahmad pula ditabal menjadi Sultan pada tahun 1584 bergelar Sultan Ahmad. Sultan Ahmad telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara D'Raja, sepupu dengan Raja Hussin. Baginda mendapat seorang puteri dan diberi nama Cik Wan Kembang.
Cik Siti Wan Kembang
Apabila Sultan Ahmad mangkat pada tahun 1589, anakanda baginda Cik Wan Kembang tidak dapat ditabalkan kerana baru berusia 4 tahun. Oleh itu Raja Hussin dari Johor dilantik menjadi pemangku raja. Setelah Raja Hussin mangkat pada tahu 1610 M, Cik Wan Kembang pun ditabal menjadi raja. Pusat pentadbiran baginda ialah di Gunung Cinta Wangsa, Ulu Kelantan.Pemerintahan Cik Wan Kembang menjadi masyhur sehingga ramai pedagang datang berniaga, termasuklah pedagang dari Arab. Orang-orang Arab memanggil baginda dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Dari situlah baginda lebih dikenali dengan nama Cik Siti Wan Kembang.
KEBANGKITAN KERAJAAN JEMBAL
Pada masa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang berpusat di Gunung Cinta Wangsa, di sebelah timur laut Negeri Kelantan telah timbul pula sebuah kerajaan yang berpusat di Jembal iaitu di bawah pentadbiran Raja Sakti. Hubungan kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan kerajaan Jembal di bawah Raja Sakti terjalin dengan baik sekali. Kedua-duanya saling menghantar utusan.
Asal-usul Kerajaan Jembal
Kerajaan Jembal asalnya diasaskan oleh Raja Besar yang dikatakan dari keturunan Raja Bersiung yang memerintah negeri Kedah dalam abad ke-14. Baginda Raja Bersiung dihalau oleh adinda baginda yang berpangkat Raja Muda. Baginda telah melarikan diri ke Kelantan. Mengikut ringkasan "Cetera Kelantan" yang ditulis oleh Dato' Nik Mahmud Nik Ismail (Dato' Paduka Raja), Raja Besar dan Raja Bersiung adalah orang yang sama. Kenyataan ini agak kabur dan bercanggah dengan fakta sejarah kerana Raja Bersiung memerintah Kedah pada abad ke-14, sedangkan pembukaan Jembal oleh Raja Besar ialah pada awal abad ke-17 (tahun 1600-an).Raja Besar dan pengikut-pengikut baginda mencari satu tempat yang sesuai untuk dijadikan negeri. Angkatan baginda telah menemui satu kawasan tanah yang subur yang terletak di tepi Sungai Babong dan Pulau Melaka. Di situ baginda mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya mendirikan sebuah kota. Di dalam kawasan itu terdapat sebatang pokok yang sangat besar iaitu pokok jambu jembal, lalu baginda menamakan tempat itu JEMBAL.Baginda Raja Besar tiba di Jembal bersama beberapa orang pengikutnya serta dua orang kanak-kanak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Kedua-duanya dipercayai cucu baginda. Yang lelaki bernama Raja Sakti dan yang perempuan bernama Puteri Mani Kemeyan. Setelah kedua-duanya meningkat dewasa lalu mereka dikahwinkan.
Pertabalan Raja Sakti
Pada tahun 1638 M Raja Besar telah menabalkan Raja Sakti sebagai raja di Jembal dan memerintah di bahagian utara dan timur Kelantan. Jembal dijadikan pusat pemerintahannya. Tidak lama selepas pertabalan Raja Sakti, Raja Besar pun mangkat. Setengah cerita mengatakan Raja Besar ghaib menghilangkan diri, kerana itulah tidak terdapat makam baginda di kawasan Jembal itu.Raja Sakti dikurniakan tujuh orang putera-puteri, iaitu Raja Adiluddin (yang lebih dikenali dengan nama Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor (nama timang-timangannya Nang Rogayah) dan Puteri Cempaka Bongsu. Mengikut buku Abdullah Nakula, Raja Sakti terkenal dengan panggilan Raja Vijaya Indera atau Long Betong. Puteri baginda iaitu Puteri Unang Melor telah berkahwin dengan Raja Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin 1. Dari keturunan inilah asalnya Raja-raja yang memerintah Terengganu hari ini.
Penyatuan Kelantan di bawah Raja Loyar
Setelah Raja Sakti merasa dirinya sudah tua dan putera-puteri baginda meningkat dewasa Raja Sakti telah menyerahkan pentadbiran negeri kepada mereka semua. Pada tahun 1649 M, Raja Loyar ditabalkan sebagai raja yang memerintah kerajaan Jembal. Raja Bahar dilantik sebagai Bendahara, Raja Omar sebagai Raja Muda dan Raja Sungai sebagai Raja Temenggung.Setelah menyerah semua pemerintahan Kerajaan Jembal, maka baginda Raja Sakti pun mengadakan "Istiadat Bersiram" di pinggir Sungai Babong (sekarang hanya kelihatan sebagai lembah sahaja yang dijadikan sawah padi, terletak di belakang Sekolah Menengah Raja Sakti), selama 7 hari 7 malam, setelah sampai malam ke-7 maka baginda Raja Sakti dan Puteri Mani Kemeyan pun "ghaib" dan tidak diketahui riwayatnya sehingga hari ini.Raja Loyar sangat dikasihi oleh semua lapisan rakyat jelata dan para pembesar negeri. Sikap baginda sangat luar biasa, lemah lembut, halus tutur kata dan bersopan santun. Mengikut kepercayaan, pada diri baginda terdapat sifat-sifat ganjil yang kononnya baginda berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit hitam, lidah fasih dan air liur masin. Pendek kata apa yang dihajati semuanya dapat kerana baginda adalah seorang yang "keramat".
Makam Al- Marhum Raja Loyor ayahanda kepada Puteri Saadong memerintah kelantan pada tahun 1649M
(Makam ini terletak bersebelahan SMK Raja Sakti Kota Jembal)
Hubungan kerajaan Jembal Dengan Paduka Cik Siti Wan Kembang
Kerajaan Jembal terus maju dan makmur di bawah pemerintahan Raja Loyar. Baginda membuat perhubungan dengan kerajaan-kerajaan sekitar termasuklah dengan kerajaan di Gunung Cinta Wangsa di bawah pemerintahan Cik Siti Wang Kembang. Baginda berdua selalu bertukar-tukar utusan dan persembahan.Raja Loyar dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera yang diberi nama Raja Sakti (mengambil nama sempena ayahanda baginda), tetapi telah mangkat dalam usia setahun sahaja. Seorang lagi puteri dan diberi nama Puteri Mariam tetapi lebih dikenali sebagai Puteri Saadong. Puteri Saadong ini amat terkenal dalam sejarah Kelantan.Apabila Paduka Cik Siti Wan Kembang mendapat berita bahawa Raja Loyar mendapat seorang puteri, maka baginda berangkat ke Jembal menemui Raja Loyar.Apabila Cik Siti Wan Kembang melihat wajah Puteri Saadong, maka timbul perasaan kasih sayang dan berhasrat mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat baginda. Baginda bercadang melantik Puteri Saadong sebagai mewarisi takhta kerajaannya kerana baginda tidak mempunyai anak dan tidak bersuami. Hasratnya itu disampaikan kepada Raja Loyar dan baginda memperkenankan permintaan tersebut.Puteri Saadong telah dibawa ke Gunung Cinta Wangsa oleh Paduka Cik Siti Wan Kembang. Di sinilah Puteri Saadong dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan penjagaan yang sempurna oleh seorang pemerintah negeri.Cik Siti Wan Kembang telah memerintahkan kepada pembesar negeri dan hulubalang supaya mencari dua ekor anak kijang untuk dijadikan binatang mainan Puteri Saadong supaya tidak kesunyian. Dari situlah gambar dua ekor anak kijang telah dijadikan lambang kebesaran kerajaan Negeri Kelantan sehingga ke hari ini.
Perkahwinan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah
Apabila meningkat remaja, Puteri Saadong menjadi seorang Puteri yang sangat cantik paras rupa dan tingkahlakunya. Mengikut Abdullah Nakula, Puteri Saadong juga dikenali sebagai "Puteri Vijaya Mala". Kecantikan Puteri Saadong ini termasyhur ke seluruh negeri sehingga sampai ke pengetahuan Maharaja Siam iaitu Raja Prasat Thong yang memerintah di Ayudhia. Baginda telah menghantar utusan ke Jembal untuk meminang Puteri Saadong. Setelah Raja Loyar berbincang dengan Cik Siti Wang Kembang, maka pinangan Raja Siam itu telah ditolak.Setelah rombongan Siam itu kembali, baginda Raja Loyar dan Cik Siti Wan Kembang berserta pembesar-pembesar telah bermesyuarat untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan sepupunya Raja Abdullah iaitu anakanda Raja Bahar.Setelah istiadat perkahwinan itu selesai, Raja Abdullah telah membina sebuah kota di hilir Negeri Kelantan dan dinamakan "Kota Jelasin" (sekarang ini dinamakan Kampung Kota, dalam daerah Kota Bharu).Setelah beberapa lama bersemayam di Kota Jelasin, Paduka Cik Siti Wan Kembang bersama Raja Abdullah dan Puteri Saadong berangkat mudik ke hulu dan singgah membuka penempatan baru di Chetok, Pasir Mas. Penempatan ini diberi nama "Tanah Serendah Sekebun Bunga". Di sinilah dikatakan bahawa baginda Cik Siti Wan Kembang telah jatuh gering kerana mengidap deman panas. Baginda telah dibawa balik ke Gunung Cinta Wangsa dan mangkat di sana. Setelah kemangkatan Cik Siti Wan Kembang maka seluruh negeri Kelantan diperintah oleh Raja Loyar.
Peperangan dengan Angkatan Siam
Berita perkahwinan Raja Abdullah dengan Puteri Saadong sampai juga ke pengetahuan Raja Siam. Baginda terus menghantar satu angkatan tentera ke Kelantan untuk merampas Puteri Saadong. Apabila sampai ke Kota Jelasin, maka berlakulah peperangan yang dahsyat. Rakyat Raja Abdullah ramai yang mati. Dalam senyap-senyap Raja Abdullah berundur ke Melor. Di sinilah baginda telah membina sebuah kota yang dinamakan Kota Mahligai.Kedudukan Raja Abdullah di Kota Mahligai dapat juga dikesan oleh angkatan Raja Siam. Mereka mula bergerak menuju ke Kota Mahligai. Kerana sayangkan nyawa rakyat Puteri Saadong sanggup berkorban. Baginda sanggup menyerah diri dengan persetujuan Raja Abdullah dan mengikut angkatan Siam ke Ayudhiya.Sepeninggalan Puteri Saadong ke Ayudhiya, Paduka ayahanda Raja Loyar telah mangkat. Jenazah baginda dimakamkan di Jembal (makam tersebut terletak di hilir Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti sekarang). Dengan persetujuan kerabat dan pembesar-pembesar negeri, Paduka baginda kepada Almarhum Raja Loyar iaitu Raja Omar yang dahulunya memegang jawatan sebagai Raja Muda telah ditabalkan menjadi raja di Jembal bergelar Sultan Omar.Sekembalinya Puteri Saadong dari Ayudhiya dan setelah mendapat tahu ayahandanya telah mangkat, baginda terus ke Kota Mahligai untuk menemui suaminya Raja Abdullah. Apabila sampai ke Kota Mahligai alangkah terkejutnya baginda kerana mendapati Raja Abdullah telah berkahwin lain, sedangkan baginda telah berjanji akan menanti sehingga Puteri Saadong pulang dari Ayudhiya, Raja Abdullah telah berkahwin dengan anak salah seorang pembesar negeri masa itu.Satu perbalahan telah terjadi antara Puteri Saadong dengan Raja Abdullah. Raja Abdullah telah mangkat kerana ditikam oleh Puteri Saadong dengan pemancak sanggulnya di dada sebelah kiri, jenazah Raja Abdullah pada mulanya hendak dimakamkan di Jembal tetapi setelah disebabkan kesukaran perjalanan jenazah baginda dimakamkan di Kampung Padang Halban berhampiran Melor.
Makam Al-Marhum Raja Abdullah memerintah pada tahun 1663,
baginda merupakan sepupu dan suami kepada Puteri Saadong
(Makam ini terletak di Kampung Padang Halban berhampiran Melor)
Bukit marak adalah satu lagi tempat bersejarah Kerajaan Jembal merupakan tempat bersemayam Puteri Saadong setelah mangkatnya Suami baginda Raja Abdullah
Pemerintahan Raja Abdul Rahim
Setelah kemangkatan Raja Abdullah, adinda baginda bernama Raja Abdul Rahim telah ditabal menjadi pemerintah di Kota Mahligai pada tahun 1671 M bergelar Sultan Abdul Rahim. Baginda telah dikahwinkan dengan balu Almarhum Raja Abdullah. Setelah selesai pertabalan, Puteri Saadong pun berpindah ke Bukit Marak untuk bersemayam di sana. Pemerintahan Sultan Abdul Rahim dikatakan zalim dan ramailah rakyat jelata datang mengadu kepada Puteri Saadong di Bukit Marak sehingga baginda selalu berdukacita.Pada tahun 1673 M, Puteri Saadong berangkat ke Gunung Ayam iaitu berhampiran dengan Sungai Nenggiri (kawasan Gua Musang sekarang) untuk mengasingkan diri. Di sinilah berakhirnya riwayat baginda.Kezaliman Sultan Abdul Rahim telah dipandang berat oleh Sultan Omar di Jembal. Baginda telah memerintah anakandanya Raja Kecil Sulong menyelesaikan masalah pentadbiran di Kota Mahligai. Salah seorang orang suruhan Raja Kecil Sulong telah berjaya menikam Sultan Abdul Rahim di tepi Tasik Lalayang Mandi dekat Bukit Kecil, Melor. Kemudian baginda mangkat di situ juga.
Kegemilangan Kelantan di bawah Pemerintahan Sultan Omar
Sultan Omar telah ditabalkan menjadi sultan pada tahun 1675 M setelah kemangkatan Raja Loyar. Kerajaan Jembal kembali masyhur di bawah pemerintahan baginda. Baginda memerintah seluruh Negeri Kelantan.Semasa pemerintahan baginda, banyak kemajuan telah dicapai. Antara kemajuan yang telah dibuat oleh baginda termasuklah membuka kawasan tanaman padi yang luas dinamakan Padang Jembal, yang terletak di kawasan Bachok.Baginda mengadakan lawatan ke seluruh kawasan dan jajahan takluk Kelantan. Baginda juga telah mengadakan perhubungan dengan kerajaan-kerajaan luar seperti Kerajaan Pattani, China, Jawa dan negeri-negeri jiran seperti Terengganu.Baginda dikurniakan lima orang putera-puteri iaitu Raja Kecil Sulong, Raja Pah, Raja Sakti III, Raja Ngah dan Raja Nah.
Makam Al-marhum Sultan Omar memerintah kelantan pada tahun 1675M,
Kerajaan Jembal begitu masyhur di bawah pemerintahan baginda
(Makam ini Terletak di kampung Senang, Kota Jembal)
Kedatangan Anak Raja Pattani
Dalam tahun 1686 M, tiga orang anak Datu Pengkalan Tua, Raja dari Pattani telah datang mengadap baginda Sultan Omar. Mereka ialah Tuan Sulong (Long Sulong), Tuan Senik (Long Senik) dan Tuan Besar (Long Bahar).Setelah berada di Kelantan beberapa lama mereka bertiga pun dikahwinkan oleh Sultan Omar. Tuan Sulong dikahwinkan dengan Cik Biru, anak kepada Penghulu Hitam, orang besar baginda yang tinggal di Kampung Laut. Tuan Senik dikahwinkan dengan Cik Seku, anak Penghulu Deraman orang besar yang tinggal di Kampung Geting, Tumpat. Tuan Besar (Long Bahar) pula dikahwinkan dengan Raja Pah, puteri baginda.Baginda Sultan Omar telah membina sebuah kota dekat Jembal yang dinamakan kota Senang. Sekarang tempat ini dinamakan Kampung Senang. Kota ini kemudiannya diserahkan kepada menantu baginda Tuan Besar. Pada tahun 1721 M, baginda Sultan Omar telah mangkat setelah memerintah Kelantan selama 46 tahun. Jenazah baginda dimakamkan berhampiran dengan Kota Senang. Belindang makam baginda dipercayai didatangkan dari Negeri China kerana ukiran di batu itu mengandungi bentuk ukiran burung dan bunga yang terdapat pada lukisan orang-orang China.
Raja Kecil Sulong
Setelah kemangkatan Sultan Omar dengan persetujuan para kerabat serta pembesar negeri maka anakanda baginda Raja Kecil Sulong ditabalkan menggantikan baginda. Baginda telah membina sebuah kota berhampiran Jembal dinamakan Kota Teras yang diperbuat daripada teras tembesu. Tempat itu sekarang dikenali sebagai Kampung Teras. Baginda memerintah selama lima tahun sahaja. Pada tahun 1725 M, baginda telah mangkat dalam usia yang masih muda.
Peranan Raja Pah
Sebelum jenazah Almarhum dimakamkan Raja Pah dipercayai telah mempengaruhi para kerabat dan pembesar negeri untuk menabalkan suaminya bernama Tuan Besar atau Long Bahar untuk menjadi sultan. Pertabalan Long Bahar menaiki takhta kerajaan dengan alasan bahawa Putera Raja Kecil Sulong yang bernama Raja Abdul Rahman masih muda serta masih belum layak untuk memerintah negeri.Dengan pertabalan Long Bahar, suami Raja Pah itu maka tertolaklah Raja Abdul Rahman untuk mewarisi takhta kerajaan ayahandanya. Setelah Long Bahar menjadi raja, baginda telah berpindah dari Kota Senang ke Kota Jembal iaitu istana almarhum Sultan Omar, ayahanda mertuanya.Apabila Long Bahar mangkat, anakanda baginda yang bernama Long Sulaiman telah menaiki takhta memerintah Negeri Kelantan. Daripada keturunan Long Sulaiman inilah datangnya salasilah raja-raja yang memerintah Negeri Kelantan sehingga ke hari ini.
PENUTUP
Nama Jembal yang begitu bersejarah hanya kekal disebut rakyat jelata sehingga tahun 1922 M sahaja. Bermula pada tahun itu tempat tersebut telah berubah dengan panggilan Kampung Kedai Lalat. Perubahan panggilan ini berlaku secara tidak dirancang tetapi hanya sebagai sindiran sahaja kerana pekan di situ pada awalnya lebih ramai penjual daripada pembeli.Kini, di sekitar Kedai Lalat, masih terdapat ramai keturunan Raja Jembal. Mereka bukan sahaja bertumpu di kawasan sekitar Kedai Lalat bahkan juga telah tersebar di segenap pelusuk Negeri Kelantan dan ke seluruh negara. Mereka berpindah disebabkan banyak faktor, antaranya kerana mencari nafkah dan tugasan lain.Keturunan kerabat Raja Jembal ini ada yang memakai gelaran RAJA, TENGKU, TUAN , KU dan NIK.
Ada juga sebilangan kecil yang telah membuang gelaran tersebut kerana sebab-sebab tertentu.Disebabkan keturunan ini tersebar luas ke seluruh pelusuk tanah air, ramai antara ahli-ahli kerabat sudah tidak mengenali antara satu sama lain. Dari itulah timbul usaha untuk menyatukan semula ahli kerabat ini di dalam satu pertubuhan yang dinamakan PERTUBUHAN KERABAT RAJA JEMBAL KELANTAN. Semoga dengan usaha murni ini akan memberi manfaat yang besar kepada ahli kerabat seluruhnya.
(Dipetik dari Sejarah Ringkas: Kerajaan Jembal Kelantan, terbitan Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan pada 14 Julai 1994)
12 comments:
Congratulations! This is a beneficial info, penuh dengan fakta sejarah dan sepatutnya di ambil berat generasi masa kini... Keep up good work, salam hormat!
macam mana nak membela keturunan RAJA SENIK? sedangkan RAJA SENIK telah mangkat di negeri orang. dan hanya meniggalkan ank cucu cicitnya shj.
sy slh srg ketrununan raja jembal..tp sy xarif sgt ngn ktrunan nie..datuk sya
raja puteh bin raja mamat xcite sgt kt sy sal sjrh keluarga..so, sy xtau sgt la..sape2 tau, ley tlg trgkn..
entah la.. kenkadang nak cite kat orang pun.. mcm xlogik.. dulu selalu ibu citer pasal Puteri Saadong.. ibu dari keturunan Puteri Saadong.. teruja jugak..
sy pon salah seorang dr keturunan raja jembal .. makam Raja Sakti and Sekolah Raja Bahar berdekatan ngan umah sy .. tp xtw plak ade makam dkt sekolah tu .. btw, kalo daftar persatuan kerabat di raja jembal, logo blh dpt kt mne?
sya tinggal di selangor ,mcm mana nak daftar ahli ,sy juga dr keturunan raja jembal ,monyang sy raja timah
saya di lahirkan di kg kuala sungai dikenali kg lulut bertam baru gua musang ,masa sy kecil atok selalu menceritakan kisah cik siti wan kembang ,dan melarang kami adik beradik memakan ikan kekacang,rebung buluh betong,dan moyang kepada atok saya telah membuang nama wan /nik.cerita2 ini sering bermain di fikiran saya..sehingga kini saya mencari2 status keturunan sebenar saya
bagai mana untuk menjadi Ahli
sya kini tinggal di kuala lumpur,,
Alhamdulillah.Dimana arwah ibu & datuk saya dari keturunan dari Raja Sakti.Ini Ada berkait dengan Sultan Malikul Saleh di Aceh adalah Raja Pertama di Nusantara.
Semoga Sy dapat menziarah ke Makam Raja Sakti.
Benar. Saya pun sudah alami alahan makan rebung buluh betung. Teringin sekali bertemu dgn keluarga keturunan raja Jembal.
Assalamualaikum wbt.
saya Nik Muhammad Syimir Nik Hassan, saya sedang mencari nasab salah sillah ketukurunan. Memandangkan ayah tidak pernah mahu bercerita tentang diri dan keluarganya. saya hanya kenal nama arwah nenek iaitu Raja Bedah Raja Awang, saya cuba cari salah-sillah tapi tidakjumpa.
Post a Comment