====INFO SEMASA ======


Sebarang urusan boleh terus ke emel pertubuhan pkrjk92@gmail.com


Untuk pendaftaran ahli di luar kelantan boleh lah berhubung terus dengan pengerusi atau Setiausaha Perhubungan Negeri



Saturday, June 27, 2009

WATAK DAN PERWATAKAN CHE SITI WAN KEMBANG


WATAK DAN PERWATAKAN CHE SITI WAN KEMBANG
(Kertas Kerja ini dibentangkan sempena Wacana bersama USIM)

MUQADDIMAH

1. Dalam membicarakan tentang Che Siti Wan Kembang terlebih dahulu kami ingin memperbetulkan sedikit tentang nama peribadi baginda. Mengikut apa yang difahamkan daripada gelaran sebenar keturunan kami ialah terdapat seperti berikut: Nik, Tuan, Raja, Wan, Che , Che Ku Long, Wan, Che Wan dan Nang ada juga Tan.Lazimnya Cik digunakan kepada kaum Perempuan yang belum lagi berkahwin manakala Encik pula adalah gelaran kepada kaum Lelaki. Dengan itu kami telah bersepakat bahawa nama sebenar ialah ; Che Siti Wan Kembang, buaknnya Cik Siti Wan Kembang. Dalam pertengahan Abad 12, Kerajaan Seri Vijaya bertukar menjadi Islam dan Rajanya bergelar Sultan. Dari rangkaian ini datangnya Sultan Ahmad, hasil perkahwinan dengan Che Banun Puteri Seri maharaja maka lahirlah Che Siti Wan Kembang seorang Raja Perempuan pada zaman dahulu bersemayam di Gunung Cinta Wangsa. Pada masa yang sama disebelah timur diperintah oleh Raja Sakti (Raja Jembal) Sultan Ahmad mangkat ketika Che Siti Wan Kembang berumur 4 tahun. Pemerintahannya dipangku oleh Sultan Husin sepupu bondanya. Apabila Sultan Husin mangkat, ditabalkan Che Siti Wan Kembang menjadi Raja (1610-1677m)

2. Che Siti Wan Kembang memang saorang Puteri yang jelita, perkasa dan seorang pendekar. Baginda begitu kuat berpegang kepada Agama dan solihah. Baginda berjiwa halus dan berhati suci serta berbudi lohor. Baginda telah bertemu saekor anak Kijang yang sakit (patah kakinya) lalu diambil dibela hingga sembuh dan menjadi binatang kesayangannya sehingga lambang kijang dijadikan logo lambang negeri Kelantan dan dipergunakan didalam wang Malaysia hingga kehari ini.

3. Baginda sangat baik dengan rakyat dan pedagang pedagang. Rakyat Sangat suka kepada baginda. Pedagang Pedangan Arab memanggil baginda dengan nama Paduka Che Siti dan baginda banyak menerima hadiah hadiah. Gelaran Siti memang dipakai kepada gadis gadis cantik, peramah dan baik hati. Baginda suka buat kenduri menjamu orang. Che Siiti dididik dengan Agama dan kerohanian (kesufian) serta berbudi pekerti tinggi bersopan santun dan manis perilakunya, lagi bangsawan. Baginda boleh dikatakan seorang yang lemah lembut tetapi tegas dalam hal pentadbiran.Baginda tidak berkahwin konon disebabkan tunangnya terkorban dalam satu pergaduhan. Ini menandakan baginda seorang puteri yang jujur.

4. Ada juga yang mengatakan bahawa CSWK adalah orang yang sama dengan Puteri Saadung. Kata teka ini boleh diterima oleh kerana baginda telah mengambil Puteri Saadung untuk dijadikan anak angkatnya serta mengharapkan supaya menggantinya kelak akan mewarisi takhta kerajaannya. Justeru itu Puteri Saadung telah diasuh dengan baik serta diperturunkan segala Ilmu kebatinan, pendekar dan amalan kerohanian. Pendek kata Perwatakan Che Siti Wan Kembang tidak lari daripada Perwatakan Baginda Puteri Saadung yang boleh kita mengetahui daripada Sejarah Puteri Saadung dan Juga Sejarah Kerajaan Jembal.

5. Kami anak cucu Raja Jembal telah bersepakat bahawa kami lebih percaya kepada apa yang diceritakan oleh datuk nenek kami daripada setengah setengah penulisan sejarah lebih lebih lagi penulisan orintalis dan orang-orang upahan, kerana apa yang diceritakan oleh datuk nenek kami mengenai Che Siti Wan Kembang, Puteri Saadung dan Kerajaan Jembal lebih selaras dan sepakat.

Dalam sesetengah penulisan buku, terdapat banyak berbeza dan berlawanan antara setengah dengan setengah yang lain. Bahkan juga dianggap insan-insan yang boleh dikatakan suci seperti Hang Tuah, Puteri Saadung, Mahsuri juga Che Siti Wan Kembang dilebel dan disenaraikan sebagai tokoh tokoh legenda dan perkara-perkara barokah dan karomah dinggap Mitos, tahyul dan Dongeng. Bukan sedikit pemikiran, pegangan dan sikap hidup bangsa kita dan Umat Islam didunia telah dirosakkan oleh Penulisan Sejarah. Natijahnya kami terpaksa menyentuh sedikit mengenai Puteri Saadung dan Kerajaan Jembal disini kerana tiga serangkai ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dan tidak boleh dipisahkan lagi.

IMBASAN SEJARAH DAN PERWATAKAN PUTERI SAADUNG

1. Dalam masa Pemerintahan Kerajaan Jembal yang diperintahkan oleh Sultan Adiluddin (Raja Loyor - 1649-1663) , Raja Jembal 11, Baaginda mempunyai 2 orang Putera/Puteri iaitu seorang bernama Raja Sakti 11 manakala seorang lagi bernama Puteri Meriam yang dikenali dengan nama Puteri Saadung. Hubungan Che Siti Wan Kembang dengan Raja Loyor sangat erat. Che Siti menyembah mohon perkenan daripada Raja Loyor untuk mengambil dan membawa balik Puteri Saadung untuk dijadikan anak angkatnya.

2. Puteri Saadung seorang yang jelita dan dididik dengan agama dan kerohanian sehingga menjadi Puteri Solihah, berjiwa halus dan berhati suci. Puteri Saadung adalah dianggap sebagai bayangan CSWK. Kejelitaan Puteri Saadung telah sampai kepada Pengetahuan Raja Siam. Lalu menghantar pinangan tetapi ditolak oleh CSWK. Puteri Saadung segera dikahwinkan dengan sepupunya Raja Abdullah dan bersemayam di Kota Jelasin. Raja Siam mahu tebus malu lalu hantar tenteranya menyerang Kelantan. Puteri Saadung dan suaminya pindah ke Kota Mahligai dekat Melor. Oleh sebab terlalu sedih dan bersimpati di atas peristiwa itu yang menyebabkan ramai rakyat terkorban dan cedera, Puteri Saadung dengan berani dan cekal hatinya sanggup pergi ke negeri Siam. Tiba disana Maharaja Siam cuba untuk menyentuhnya tetapi dengan izin Tuhan Keromah Puteri Saadung telah zahir tiba tiba iatu seluruh badan Maharaja Siam ditumbuhi dengan kudis gatal. Puas Maharaja Siam berubat dan berbomoh tetapi tidak sembuh sembuh lalu Maharaja Siam memberi syarat kepada TuanPuteri Saadung supaya mengubatinya. Jika sembuh Maharaja Siam berjanji akan menghantar balik Puteri Saadung ke Kelantan. Lalu Puteri yang karomah memohon doa kehadrat Allah Subhanahu wataal agar disembuh semula penyakit Maharaja Siam. Cara mengubati balik mengikut kata orang orang tua dengan cara Puteri Saadung merendam kakinya dalam air yang dibubuh dalam besen dan disuruh minum dan dilumur kepada Maharaja siam. Takdir Allah Subhanahu Wataala penyakit Maharaja Siam sembuh sertamerta. Lalu Maharaja Siam memerintah kepada Hulubalangnya supaya menghantar balik Tuan Puteri Saadung ke Kelantan.


WATAK DAN PERWATAKAN BAGINDA CHE SITI WAN KEMBANG

1. Baginda Che Siti Wan Kembang mempunyai perwatakan yang sama dengan perwatakan Puteri Saadung (Raja Jembal) juga seorang Pemerintah Kelantan semasa pemerintahan Raja Abdullah. (1663-1671) berpusat di Kota Jelasin / Kota Mahligai.

2. Baginda CSWK juga dikatakan seorang yang peramah juga mempunuyai perhubungan baik dengan pemerintah lain untuk persahabatan serta urusniaga. Contohnya baginda telah mengunjungi dan mengadap Paduka Raja Loyor (Raja Jembal) sehingga baginda dapat ampun perkenan Paduka Raja Loyor untuk mengambil Puteri Saadung menjadi anak angkatnya.

3. Baginda seorang Solihah, karomah dan juga mempunyai ilmu kebatinan serta pancak silat. Semua Ilmu kebatinan telah dipeturunkan kepada Paduka Puteri Saadung anak angkatnya. Justeru itu apabila Kelantan diserang oleh tentera Siam maka dapat Puteri Saadung mempertahankan diri. Namun demikian Puteri Saadung mempunyai sikap belas kesian terhadap rakyat lalu dia sanggup pergi mengadap Raja Siam. Raja Siam tidak boleh berbuat apa-apa. Ceritanya sepertimana diceritakan dalam Imbasan Perwatakan Puteri Saadung tadi.

KESIMPULAN

1. Kami Para Pegawai dan AJK Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan bersepakat mengatakan bahawa Perwatakan, Social dan Seni Budaya CSWK adalah lebih kurang sama dengan Perwatakan baginda Puteri Saadung.

2. Baginda CSWK sudah tentu mempunyai Karomah dan ilmu kebatinan serta ilmu pendekar yang hebat walau pun inya seorang Puteri.

RUJUKAN KAMI BERPANDUKAN KEPADA;

1) Cerita-cerita daripada orang tua tersohor dari keturunan Raja Jembal iaitu, Arwah Raja Ismail (Ayah Weil Bageh) sebagai tok bomoh, Arwah Hj Raja Kechik Teras dan Arwah Hj Tuan Mat bin Tuan Kechik.

2) Hikayat Puteri Saadung.

3) Raja Champa & Dinasti Jembal.

Dan banyak lagi buku sejarah yang ditulis oleh Penulis bertauliah.

Kertas Kerja ditulis oleh AJK PKRJK YM HJ NIK AHMAD BIN RAJA ABDULLAH
bersama YM SU PKRJK

3 comments:

hafsham dzulkifli said...
This comment has been removed by the author.
jimmyplu said...

saya mempersoalkan bagaimana kerabat diraja jembal mengubah sejarah cik siti wan kembang . sedangkan cik siti tidak pernah merajai jembal dan cik siti juga bukanlah nenek moyang bagi keturunan jembal sekarang...

PUTRI MAS AYU said...

Assalamualaikum, saya Maslina,amat tertarik dengan jalan cerita che siti wan kembang ini.Saya seorang pelukis ilustrasi dan bercadang ingin menghasilkan sebuah buku cerita kanak-kanak ala-ala snow white dalam versi melayu.Saya ingin mengambil che siti wan kembang sebagai watak utama.Saya ada membuat kajian berkaitan beliau.Banyak versi yang saya baca.bagaimana mahu menentukan kesahihan versi tersebut.tq